Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

UCAPAN PMK. PENGARAH JABATAN KEHAKIMAN NEGARA SEMASA MAJLIS KESYUKURAN DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1445H/2024M

UCAPAN PMK. PENGARAH JABATAN KEHAKIMAN NEGARA SEMASA MAJLIS KESYUKURAN MEMPERINGATI ULANG TAHUN PENUBUHAN JABATAN KEHAKIMAN NEGARA KE-22 TAHUN DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 1445H/2024M DAN DISELAJURKAN DENGAN PENGHARGAAN KEPADA KAKITANGAN BERPINDAH DAN BERSARA

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie, Negara Brunei Darussalam

Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Yang Mulia Pemangku Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Kehakiman Negara,

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

1. Terlebih dahulu, kaola/saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-22 Penubuhan Jabatan Kehakiman Negara dan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin serta hadirat dan semua warga Jabatan Kehakiman Negara, termasuk kepada mereka yang bertugas di Bangunan-Bangunan Mahkamah di daerah-daerah.

2. Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan kehendaknya jua maka kita dapat dapat mengadakan majlis yang bersejarah pada tahun ini yang nampaknya berseri-seri dan meriah.

3. Apa yang istimewanya pada sambutan kali ini, kita sekali gus dapat merayakan 3 acara dalam satu masa iaitu Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Penubuhan Jabatan Kehakiman Negara (yang kebetulan  tanggal 1hb Mei tahun ini berada didalam bulan Syawal), Sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan juga meraikan (memberikan penghargaan) kepada kakitangan jabatan ini yang dinaikan pangkat dan akan berpindah jabatan dan juga kepada kakitangan yang telah bersara.

4. Dikesempatan ini kaola/saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak yang mengungkayahkan majlis sambutan ini dan semua warga Jabatan Kehakiman Negara atas kerjasama dan peranan masing-masing menjadikan Jabatan Kehakiman Negara sebuah agensi kerajaan yang cemerlang. Kaola/saya juga berharap usaha-usaha akan dapat dipergiatkan lagi untuk mempertahankan kecemerlangan Jabatan Kehakiman Negara dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa-masa akan datang.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, hadirin serta hadirat sekalian

​5. Di negara kita ini suasana Hari Raya Aidilfitri disambut dan dimeriahkan sepanjang bulan Syawal dimana kunjung mengunjung dan rumah atau pejabat terbuka diadakan yang setentunya menjadikan suasana Aidilfitri itu menjadi meriah.

6. Walaupun Aidilfitri yang disyariatkan hanya pada satu Syawal, namun menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam.

7. Dalam kita ziarah menziarahi Aidilfitri ini, perkara yang utama kita lakukan adalah bermaaf-maafan. Mohon maaf zahir dan batin, itulah perkataan yang sering kita ucapkan dan dengar apabila berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai. Betapa indahnya Islam memberikan kesempatan kepada umatnya untuk saling bermaafan.

8. Kita selaku makhluk Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Bermaaf-maafan adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Sekiranya kita melakukan kesilapan terhadap orang lain, segeralah memohon kemaafan daripada mereka, kerana perbuatan yang menyakiti hati orang lain, boleh menyebabkan berdendamnya seseorang dalam hubungan kita sesama manusia. Tambahan pula, kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita. Begitu juga jika seseorang telah melakukan hal yang menyakitkan hati pada diri kita setentunya sukar untuk diterima apa lagi untuk dimaafkan. Namun kita seharusnya menyedari dan cermin diri adakalanya kita sendiri telah melakukan banyak kesilapan dan melakukan dosa.

9. Bersempena Aidilfitri yang indah dan mulia yang kita raikan ini, marilah kita saling memohon dan menerima kemaafan, pujuklah hati untuk melupakan dan melenyapkan segala kemarahan dan dendam yang tersimpan selama ini. Mudah-mudahan dengan yang demikian, kita akan mendapat keampunan Allah Subhanahu Wata'ala, dipermudahkan segala urusan, hidup dalam keadaan yang harmoni, bersatu-padu dan berkasih sayang, Aamiin Ya Rabbal Alamin.

10. Mengakhiri ucapan ini, kaola/saya dengan hati yang tulus jernih, sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-22 Jabatan Kehakiman Negara, Selamat Hari Raya Aidil Fitri Al-Mubarak mohon maaf zahir dan batin kepada semua lapisan warga Jabatan Kehakiman Negara dimana sahaja berada (termasuk yg di daerah-daerah), dan selamat menyambut Adau Gayoh kepada kakitangan yang berbangsa Dusun, semoga kita semua sama-sama berada dalam sejahtera, sihat 'afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala

11. Kepada kakitangan yang kita raikan diatas kenaikan pangkat beliau, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih, semoga kejayaan ini akan menjadi motivasi bagi beliau untuk terus maju jaya dan juga semoga ianya akan menjadi perangsang kepada seluruh warga jabatan ini. Teruskan perkhidmatan yang cemerlang di jabatan yang baru nanti.

12. Kepada kakitangan yang menamatkan perkhidmatan, diucapkan selamat bersara dan terima kasih diatas curahan bakti kepada jabatan ini, didoakan semoga sentiasa dalam kesihatan yang baik dan berbahagia menjalani persaaan. Bagi pihak warga Jabatan Kehakiman Negara, mohon maaf jika ada kekurangan, kesalahan dan kesilapan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

22 Syawal 1445H / 01 Mei 2024

***


Attachments