Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TEKS UCAPAN PEMANGKU PENGARAH JABATAN KEHAKIMAN NEGARA SEMASA SAMBUTAN HARI RAYA1443/2022

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Yang Mulia Pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Kehakiman Negara,

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam Sejahtera

1.  Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan dan semua warga Jabatan Kehakiman Negara, khususnya yang bertugas di ibu pejabat Jabatan Kehakiman Negara ini. Sesungguhnya, saya secara peribadi ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Jabatan Kehakiman Negara dan kepada semua pihak yang telah berusaha bersungguh-sungguh mengungkayahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ini kerana ini merupakan kali pertama saya meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini barsama abiskita semua.

2. Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin dan kehendaknya jua maka kita dapat dapat menyambut 'Idil Fitri yang mulia pada tahun ini, maklum sajalah situasi sebelumnya begitu membimbangkan kita semua. Bulan Syawal adalah bulan istimewa bagi kita umat Islam dimana saja berada. Ia merupakan bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua.

3.  Pada hemat saya, Majlis Sambutan Hari Raya ini amatlah bermakna kepada semua Umat Islam malahan ia juga amat bermakna bagi yang bukan beragama Islam. Ini adalah kerana ia merupakan peluang untuk kita yang terdiri dari berbagai latar belakang, budaya, adat dan bahkan dari kalangan perbezaan sosio-ekonomi dapat bersama-sama berkongsi keceriaannya.

4.   Pada masa yang sama, jika kita perhatikan menerusi amalan seumpama ini, dan bagi konteks jabatan kita ini, saya melihat ia dapat mengeratkan lagi perhubungan diantara pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan. Ambillah kesempatan ini untuk beramah mesra di antara satu sama lain sebagai tanda hormat menghormati dan saling bermaafan. Saya yakin, amalan ini akan dapat menjadi satu pelaburan yang memberikan impak yang besar sekali gus menyumbang kepada keharmonin jabatan.

5.   Dalam kita menyambut keceriaan dan kemeriahan suasana Hari Raya, janganlah kita lupa bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab besar, iaitu tanggungjawab kita terhadap pencipta kita dan tanggungjawap terhadap negara. Tanggungjawab kita terhadap pencipta kita (Allah S.W.) ialah untuk kita mematuhi segala seruannya (perintah) dan menjauhi segala larangannya manakala tanggungjawab terhadap negara ialah mematuhi paraturan dan undang-undang yang ada. Salah satu peraturan yang kitani perlu patuhi pada masa ini ialah garispanduan atau SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi sama-sama mencegah penularan wabak COVID19.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, hadirin serta hadirat sekalian

6.  Untuk menjadi sebuah organisasi yang terbilang, kunci utama ialah kerjasama dan perpaduan tidak kira pangkat, bangsa, agama dan latar belakang. Kita semua sedia maklum, 'we are not perfect', tetapi jika kita bersatu maka kelemahan itu akan dapat dibendung dan akhirnya kelemahan itu akan menjadi satu kelebihan. Moga-moga komitmen yang padu semua pihak yang tidak mengira pangkat dan jawatan akan dapat menjadi penggerak bagi mempercepatkan kejayaan kita semua selaku warga Jabatan Kehakiman Negara.

7.    Dikesempatan ini saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan dan semua warga Jabatan Kehakiman Negara atas kerjasama dan peranan masing-masing menjadikan Jabatan Kehakiman Negara sebuan agensi kerajaan yang cemerlang. Saya juga berharap usaha-usaha akan dapat dipergiatkan lagi untuk mempertahankan kecemerlangan Jabatan Kehakiman Negara dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa-masa akan datang.

8.  Mengakhiri ucapan ini, saya dengan hati yang tulus jernih sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri Al-Mubarak mohon maaf zahir dan batin kepada semua lapisan warga Jabatan Kehakiman Negara dimana sahaja berada (termasuk yg didaerah-daerah), semoga kita semua sama-sama berada dalam sejahtera, sihat 'afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata'ala

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

11 Syawal 1443H / 12 Mei 2022

***



Attachments